Sunday, December 26, 2010
nurse ???
Friday, December 24, 2010
insertion NG tube
" get ur partner " kata madam yee ...
Saturday, December 18, 2010
QURRATU'AYUN AYAT CINTA KAMI
Rasulullah SAW telah banyak kali menegaskan di sepanjang kehidupan Baginda. Antaranya sabda Baginda yang bermaksud :
“ Tidakkah ingin kalian aku khabarkan tentang perkara terbaik dan paling berharga yang boleh dimiliki oleh seseorang? Iaitulah, isteri yang solehah, yang cirinya adalah menggembirakankan apabila memandang kepadanya. Jika disuruh, dia mentaatinya, dan bila kamu tiada, dia memelihara ( rahsia dan hartamu ) dengan sebaiknya.” ( Riwayat Abu Daud dan al Hakim )
WANITA SEBAGAI ISTERI PEMBANGUN JIWA
Sudah lama saya mendengar dan membaca kisah Sayyidatina Khadijah, Aisyah, Fatimah, Ummu Sulaim, Ummu Salamah dan lain-lainnya, tapi baru kali ini saya benar-benar menghayati apa yang tersirat di sebalik kisah mereka. Terlalu besar peranan seorang isteri untuk menjadi penenang jiwa seorang suami.
“Apa pandangan abang tentang peranan seorang isteri dengan merujuk kisah Sayyidatina Khadijah, Fatimah dan yang lainnya? “ Suatu petang, saya bertanya suami, ingin tahu.
“ Seorang isteri yang berperanan sebagai penyejuk dan penenang hati, bukan sahaja memberi kesan kepada suami, bahkan juga kepada negara, “ suami saya menjawab sambil memandang tepat ke anak mata saya.
“ Mengapa begitu besar kesannya? “ saya bertanya, supaya suami melanjutkan perbincangannya.
“ Jika hati, pemikiran dan sikap suami mampu ditenang oleh isteri dan anak-anak sebagai ‘cahaya mata’ penyejuk jiwa dan raga, maka sudah pasti dia akan menjadi lelaki yang bijak serta tenang dalam mengambil sebarang keputusan dalam kerjayanya. Kebijaksanaan itu akan turut dimanfaatkan oleh masyarakat dan dunia, ” ulas suami sambil memandang jauh ke luar jendela.
“ Seterusnya hasil dari ketenangan di rumah juga, suami akan melihat dunia sebagai amanah yang dígalas atas nama Allah Azza wa Jalla, dan bukan sebagai habuan kepada nafsu yang bermaharajalela. Dunia baginya merupakan tempat untuk membalas kebaikan keluarga, lalu dia menjadi seorang lelaki yang baik dan soleh. Tidakkah beruntung seluruh warga alam andai semua lelaki bersikap begini? ” ujarnya lagi.
Saya mengangguk tanda sangat bersetuju dengan pandangannya itu. Memang benar, telah banyak kita melihat ramai lelaki yang nafsunya tidak selesai di rumah, akhirnya merosak anak gadis dan isteri orang di luar rumah. Mereka juga menjadi pelanggan setia, memeriahkan bisnes pelacuran di pinggir ibu kota. Mencetus caca marba dalam masyarakat serta membawa virus dosa dan akhirnya apabila kejahatan melata maka akan semakin kurang redha Allah terhadap masyarakat. Bala mula menimpa akibat dari nafsu lelaki yang tidak dirawat sebaiknya oleh isteri di rumah.
Juga, telah acap kali kita mendengar berapa ramai lelaki yang minda dan hatinya kusut, tidak tenang lantaran isteri yang gagal menyuntik kedamaian. Kesannya, suami yang gersang jiwanya ini akan bertukar ganas umpama serigala rimba. Segala keputusan diambil tanpa rujukan agama, pertimbangannya menjadi tempang akibat tiada damai di rumah. Sebagaimana seorang hakim membuat keputusan dalam keadaan diri resah gelisah dan marah, tentu saja hukuman yang salah dan tidak tepat akan terlaksana dan ini tidak dibenarkan oleh Nabi sa.w.
CIRI-CIRI WANITA PENENANG JIWA
Tidak dinafikan hari ini telah mula bangkit suara dan laungan sekumpulan wanita pejuang feminis, yang memandang hina kisah-kisah wanita solafussoleh ini. Mereka mendakwa Islam menganjurkan isteri menjadi ‘hamba’ kepada suami. Alangkah malangnya ‘pejuang wanita ‘ seperti ini disebabkan mereka berfikir menggunakan aqal bersalut nafsu dan bukan dengan mata hati bersuluh cahaya iman.
Mereka gagal melihat apa yang tersirat, bahawa dunia ini binasa disebabkan oleh tangan-tangan manusia sebagaimana yang pernah ditegaskan melaui firmanNya. Jika dulu, hanya tangan-tangan lelaki yang menjadi golongan majoriti membuat keputusan kononnya untuk pembangunan dunia, namun kini tangan-tangan wanita telah terheret sama menyumbang kepada kerosakan apabila mereka mula berjawatan dan turut sama membuat keputusan.
Bagi saya tiada lain yang lebih beerti selain kembali merujuk kepada srikandi Islam di zaman silam. Mereka merupakan contoh tauladan buat seorang isteri yang layak menjadi ‘qurratu’ayun’ seorang suami. Mereka memiliki segala yang diidamkan, antaranya :
1 ) Isteri yang cerdik.
Kecerdikan seorang isteri bukan diukur dari segulung dua ijazah yang diraih dari universiti atau kolej-kolej tinggi. Akan tetapi, kecerdikannya terserlah pada sifat mengenali dan memahami keperluan suami semasa suka mahu pun duka. Dia pandai mengambil hati suami dengan perilaku yang manja dan lemah lembut. Tutur katanya halus dan berhati-hati agar suami tidak terasa hati. Gurauannya bersahaja sangat menyenangkan jiwa. Dia juga bijak mengangkat nilai suami pada pandangan orang lain dan sentiasa bersedia untuk diajak berbual apa sahaja tanpa rasa jemu dan perasaan layu.
Isteri yang pandai membaca riak rasa seorang suami sama ada gembira atau sebaliknya, menjadi penguat semangatnya untuk melakukan yang lebih baik pada esok hari. Kerana itu, ada pepatah mengatakan, di belakang seorang lelaki berjaya, ada seorang wanita bernama isteri yang sentiasa mendorong dan meniup semangat juangnya.
2 ) Sentiasa mendahulukan suami dari yang lain.
Seorang isteri yang solehah dinilai dari ketaatannya kepada suami dalam apa jua perkara selagi ia tidak melangkaui batasan agama. Kesetiaan kepada suami didahulukan dari orang lain termasuk ibu dan bapa. Keizinan suami sentiasa diminta agar redhanya selalu mengiringi, sehinggakan untuk berpuasa sunat juga isteri perlu meminta izin suami sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud :
"Tidak halal bagi seorang isteri yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berpuasa , sedangkan suaminya ada di sampingnya kecuali dengan keizinan suaminya itu."(Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad Ibn Hanbal)
3 ) Mengurus rumahtangga.
Tanggungjawab seorang isteri yang tidak kurang pentingnya ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Anak-anak dijaga makan dan pakai, begitu juga suami yang sentiasa dipenuhi keperluan dirinya. Rumah yang bersih, damai dan tenang akan menggembirakan penghuni yang berlindung di dalamnya. Jiwa yang tenang pasti akan melahirkan individu yang ceria gembira. Walaubagaimanapun, untuk menghias rumah, isteri perlulah mengikut kemampuan keperluan keluarga. Isteri harus pandai menghargai susah payah suami mencari nafkah buat perbelanjaan sehari-hari.
Suami mana yang tidak berbunga rasa sebaik menjengah ke dalam rumah, isteri menyambut dengan manja, anak-anak riang gembira dan rumah bersih senang dipandang mata.
4 ) Berhias hanya untuk tatapan mata suami.
Isteri yang menyintai suami tidak akan membiarkan kecantikannya dilihat apatah lagi dinikmati oleh orang lain. Mata, bibir , tangan, kaki dan seluruh anggota tubuhnya hanya untuk santapan mata suami yang halal baginya. Oleh kerana itu, pakaian dan penampilannya di hadapan suami sentiasa dijaga. Pelupuk mata, pipi dan bibir yang disolek dengan warna menaikkan seri wajah hanya digunakan di hadapan suaminya. Akan tetapi bila berada di luar rumahtangga, semua itu ditinggalkan. Auratnya ditutup dengan rapi. Tidak juga dia memakai wangi-wangian yang boleh dihidu oleh lelaki lain agar keberkatan dalam rumahtangga tetap terpelihara.
QURRATU’AYUN AYAT CINTA KAMI
Saya kembali menatap sebaris ayat indah itu. Di dalamnya terkandung doa dan harapan. Doa kepada yang Esa serta pengharapan dari hati yang membacanya. Ia bagaikan ayat-ayat cinta yang menghidupkan seluruh jiwa saya untuk terus berbakti kepada anak-anak dan suami, malah melangkaui lebih jauh dari itu, suatu bakti kepada dunia melalui khidmat kasih setia kepada suami. Membantu suami agar tidak menjadi lelaki pembinasa masyarakat tetapi penyelamat dari fasad dunia. Saya membaca dan terus membaca dengan penuh keinsafan dalam jiwa.
“ Wahai Tuhan kami, kurniakan lah kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata ( Qurratu’ayun ) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”
( al Furqan : 74 )
Semoga kita semua berusaha meraih redhaNya sebagai qurratu’ayun dalam hidup seorang suami, amin.
from:ummuhusna99.blogspot.com